AM

Pengarah Urusan Boustead Plantations Terima Tauliah Kol Kehormat Askar Wataniah

30/06/2025 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pengarah Urusan Boustead Plantations Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope dianugerahkan Tauliah Kol Kehormat Askar Wataniah hari ini.

Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut kenyataan itu, Zulkarnain turut dilantik sebagai Ahli Turut Hadir Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) di bawah Kementerian Pertahanan.

Majlis turut menyaksikan pemakaian pangkat Lt Kol Pegawai Sukarela Askar Wataniah kepada Ketua Cawangan Latih, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Mej Wan Rizaila Wan Mamat Saufi, yang turut dilantik sebagai Timbalan Komandan pasukan itu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin @ Sapilin Samitah pula dianugerahkan Tauliah Lt Kol Kehormat dan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi JAKPAW Sabah.

Tentera Darat memaklumkan, Pengarah Tanah dan Ukur Sabah Prof Datuk Sr Bernard Liew Chau Min dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Sabah Datuk Dr Ahemad Sade dianugerahkan Tauliah Mej Kehormat dan menjawat jawatan Ahli JAKPAW negeri itu.

Pengurus Syarikat Eng Hin Giap Hardware Sdn Bhd Chye Chang Kheng pula dianugerahkan Tauliah Mej Kehormat dan menjawat jawatan Ahli Turut Hadir JAKPAW Negeri Kedah.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Hafizuddeain dalam ucapannya menegaskan kepentingan pendekatan menyeluruh kerajaan dan menyeluruh masyarakat (WoGoS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 bagi memastikan keselamatan negara menjadi tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat.

“Kehadiran pegawai kanan sukarela dan kehormat dalam struktur Tentera Darat jelas mencerminkan pelaksanaan sebenar prinsip ini, iaitu memperkukuh pertahanan negara melalui pendekatan inklusif dan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan