SUKAN > BERITA

Rosman Tiada Masalah Dengan Komitmen Pearly-Thinaah

01/07/2025 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan Rosman Razak tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan isu komitmen gandingan utama negara Pearly Tan-M. Thinaah meskipun pasangan itu berdepan isu kontrak yang masih belum dimuktamadkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Rosman berkata fokus beliau ketika ini juga kekal terhadap aspek latihan dan persediaan kejohanan termasuk memantau prestasi Pearly-Thinaah yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

“Jika ada sebarang masalah, saya akan bersuara tetapi setakat ini saya tiada isu mengenainya.

“Dari segi latihan, fokus dan segala arahan (masih ikut), ia tidak mengganggu proses saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini. 

Semalam Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keputusan sama ada Pearly-Thinaah kekal bersama badan induk itu hanya akan diketahui sebelum Terbuka Jepun pada 15 Julai ini dengan beberapa perkara perlu dimuktamadkan sebelum keputusan sebenar dapat dicapai.

Untuk rekod, Pearly-Thinaah belum menandatangani kontrak baharu bersama BAM selepas kontrak terdahulu tamat pada Disember lepas.

Di sebalik ketidaktentuan masa depan mereka bersama BAM, Pearly-Thinaah tetap menunjukkan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand pada Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan