Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Viviantie Sarjuni Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN

01/07/2025 11:56 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) hari ini mengumumkan pelantikan Viviantie Sarjuni sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

INSKEN dalam kenyataan memaklumkan Viviantie memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor syarikat multinasional dan agensi kerajaan, selain kepakaran dalam bidang teknologi, inovasi dan kreativiti.

“Pelantikan Viviantie diharap dapat memperkukuh struktur pengurusan dan operasi INSKEN, selain memperkasakan ekosistem keusahawanan negara dalam usaha membantu usahawan mikro dan informal kekal berdaya saing serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan usahawan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum menyertai INSKEN, Viviantie pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC).

Selain itu, beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) serta Presiden Alumni Chevening Malaysia bagi penggal 2024–2026.

Viviantie yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan sosial turut pernah meluangkan masa selama setahun enam bulan di Scotland untuk mendalami ekosistem inovasi sosial di Eropah.

Beliau juga berkhidmat selama empat tahun dengan sebuah syarikat berpangkalan di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, sebagai usaha memperkukuh pemahamannya terhadap ekosistem keusahawanan di peringkat global.

Antara pengiktirafan yang pernah diterima beliau termasuk Kindness and Leadership 50 Leading Lights in the Asia Pacific 2024, Wiki Impact – 100 Changemakers in Malaysia 2024, serta tersenarai dalam Sabah’s 100 Most Inspiring Women.

Menurut kenyataan itu, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta seluruh warga kerja INSKEN mengalu-alukan pelantikan Viviantie dan merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas persetujuan terhadap pelantikan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan