KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh pegawai khasnya Firhan Rosli dalam kenyataan hari ini.
Firhan berkata pemergian Muhammad Nur, 76, merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.
"Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman," katanya.
Menurut Firhan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
Muhammad Nur dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, dan sebelum itu pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Okt 2018 hingga 30 Sept 2021.
Pada 18 Jan lepas, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyifatkan Muhammad Nur sebagai seorang tokoh dakwah, sarjana Islam dan pemikir yang mengabdikan hidup dalam perjuangan mendidik umat, menyebarkan ilmu serta memperjuangkan nilai keadilan sejagat.
Beliau berkata pembabitan Allahyarham dalam dakwah dan gerakan Islam bermula seawal zaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada awal 1970-an, dan kemudian dilantik sebagai Presiden ABIM dari 1991 hingga 1997.
“Ketika memegang jawatan tersebut, Allahyarham mengemudi ABIM dalam fasa penting transisi, memperkukuh peranannya sebagai rakan dalam pembinaan negara, selain membawa suara ABIM ke pentas antarabangsa – termasuk membela isu-isu umat Islam seperti di Bosnia dan Afghanistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata Muhammad Nur juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah, penulis dan tokoh intelektual di UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti Selangor (UNISEL) serta pelbagai institusi dalam dan luar negara.
Selain itu, Allahyarham turut mencurahkan bakti sebagai Felo Akademik di United Kingdom dan berperanan sebagai perunding kepada pertubuhan Islam di Asia Tenggara.
“Allahyarham turut dikenali di peringkat antarabangsa dan aktif membentangkan pemikiran Islam dalam pelbagai persidangan global, termasuk Parliament of the World's Religions, Sidang Inter‑Parliamentary Union (IPU) di Geneva dan Dhaka, serta Konferensi al-Nursi di Turki,” katanya.
Menurut Ahmad Fahmi, sebagai penulis dan pengkarya, Allahyarham meninggalkan warisan berharga menerusi karya seperti Islam & Demokrasi, Polemik Kalimah Allah, Islam, Politik dan Kesederhanaan, serta memoir beliau yang penuh makna, Jejak-Jejak Pencerahan Umat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial