AM

Menteri, Timbalan Menteri Ucap Takziah Pemergian Muhammad Nur Manuty

26/06/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Menteri dan timbalan menteri hari ini merakamkan takziah kepada keluarga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang meninggal dunia hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata beliau membesar dengan mengenali nama dan ketokohan Allahyarham sebagai seorang ilmuan, pendakwah dan pemikir yang sentiasa istiqamah memperjuangkan nilai Islam melalui ilmu, wacana serta kepimpinan.

“Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para anbiya', siddiqin, syuhada' dan solihin,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di X berkata Allahyarham Muhammad Nur merupakan tokoh dakwah, ilmuwan dan pemikir Islam disegani, selain banyak menyumbang dalam membina kefahaman Islam dalam kalangan rakyat di negara ini. 

Beliau berkata pemergian Muhammad Nur merupakan kehilangan besar kepada umat Islam dan negara.

"Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Saya doakan mereka diberi ketabahan dan kesabaran menghadapi dugaan ini. 

"Semoga roh Allahyarham Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dicucuri rahmat, diampuni segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Turut merakamkan ucapan takziah ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim yang menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh dakwah, pemikir Islam dan pendidik yang sentiasa membawa pendekatan hikmah dan kasih sayang dalam menyampaikan ilmu serta membimbing masyarakat.

Muhammad Nur, 76, meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023, selain pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Okt 2018 hingga 30 Sept 2021.

Pada 18 Jan lepas, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan