BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan untuk mendakwa pengendali syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata terdapat dua kertas siasatan sedang disiapkan untuk diambil tindakan terhadap pengendali syarikat bas dan syarikat yang memajak bas itu.
“Kertas siasatan masih di peringkat JPJ dan kita jangka akan serah kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 tahun 2025 Peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata JPJ akan membuka kertas siasatan bagi mengheret syarikat bas yang terbabit dalam nahas itu kerana kegagalan syarikat berkenaan beroperasi mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Aedy Fadly turut menafikan dakwaan bahawa pihak JPJ tidak dapat merekodkan kenyataan pengusaha syarikat bas kerana diserang sakit jantung.
“Dia (pengusaha bas) kena serangan jantung tiada kaitan dengan JPJ... saya tidak terima apa-apa laporan mengatakan begitu. Kita (JPJ) akan tetap ambil tindakan, kalau dia masuk hospital kita akan tunggu,” katanya.
Pada awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Kemalangan turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial