KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Saluran Telegram Edisi Siasat 2.0 yang diwujudkan selepas saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” disekat semalam, kini tidak boleh diakses oleh pengguna platform berkenaan.
Tinjauan Bernama di saluran itu mendapati satu peringatan dipaparkan bertulis this channel can't be displayed because it violated local laws (Malaysia) dan semua kandungan dalam saluran berkenaan turut telah dipadam.
Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”, menyebabkan dua saluran berkenaan tidak boleh diakses pada petang hari yang sama.
Bagaimanapun pada 8 malam hari yang sama, pemeriksaan Bernama di platform berkenaan mendapati satu akaun baharu menggunakan nama Edisi Siasat 2.0 diwujudkan, dengan mempunyai lebih 100,000 pengikut sebelum disekat.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].
Kedua-dua saluran berkenaan dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial