AM

LIFT Ambil Inisiatif Mesra Pengembara

19/06/2025 02:49 PM

LABUAN, 19 Jun (Bernama) -- Pengendali Terminal Feri Antarabangsa Labuan (LIFT) memperkenalkan inisiatif mesra pengembara untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang ke tanah besar Sabah dan Sarawak. 

Inisiatif dengan jenama ‘Kita Mudahkan Perjalanan Anda’ bertujuan menggalakkan lebih ramai  menggunakan perkhidmatan feri, selepas ia kembali beroperasi pada 28 Mei. 

Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holdings Sdn Bhd Noor Halim Zaini berkata perkhidmatan feri itu beroperasi setiap hari sehingga 3 Ogos, bagi menyokong penganjuran Festival Flora Borneo (BFF) 2025 yang dijangka menarik ribuan pelawat ke pulau bebas cukai itu. 

“Selaras BFF 2025, kami akan memudahkan perjalanan dengan operasi harian feri untuk memastikan kesalinghubungan lebih lancar dengan Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Beliau berkata kekerapan perjalanan feri akan ditambah khusus pada 23 Jun bagi menampung perjalanan pelajar Kolej Matrikulasi Labuan, untuk semester baharu akademik. 

“Kami menjangkakan ribuan pelajar dari Sabah dan Sarawak akan kembali ke Labuan beberapa hari akan datang, jadi kami berusaha memudahkan perjalanan mereka,” katanya.

Selain meningkatkan operasi feri, Noor Halim berkata pengendali juga akan berusaha memudahkan pembelian tiket, bukan hanya di kaunter tetapi juga menerusi platform dalam talian, memberikan kemudahan dan kebolehcapaian lebih baik kepada pengembara. 

Beliau berkata perkhidmatan feri penumpang menghubungkan pulau itu dengan Kota Kinabalu, Menumbok dan Sipitang di Sabah serta Limbang, Sarawak itu berfungsi sebagai pengangkutan penting kepada penduduk tempatan, pelajar dan pelancong. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan