AM

Kembara Riuh Pesta Itu-Ini Inisiatif Kementerian Komunikasi Merakyatkan Perkhidmatan

19/06/2025 07:51 PM

KOTA BHARU, 19 Jun (Bernama) -- Program Kembara RIUH Pesta Itu-Ini yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, menjadi inisiatif Kementerian Komunikasi merakyatkan perkhidmatan melalui penglibatan enam agensi serta lebih 15 persembahan menarik.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata program kali ini menampilkan pendekatan berbeza berbanding penganjuran Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat di Kelantan iaitu ‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’, yang pernah diadakan di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh pada 2022.

“Fokus utama adalah untuk mempromosikan makanan tempatan, hasil seni batik, kraf tangan serta keunikan budaya Kelantan yang kaya dengan identiti tersendiri.

“Pesta yang berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung dan akan diadakan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di pekarangan stadium ini,” katanya selepas melawat reruai Bernama pada Program Kembara RIUH Pesta Itu-Ini di sini hari ini.

Nik Kamaruzaman berkata pendekatan bagi edisi kali ini menumpukan kepada penggabungan elemen makanan, hiburan, budaya dan aktiviti komuniti dalam satu platform yang lebih inklusif serta dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Program ini turut mengetengahkan vendor makanan tempatan, usahawan kreatif, artis tempatan dan persembahan budaya, sambil membuka peluang kepada usahawan mikro serta bakat-bakat komuniti.

“Penganjuran ini juga dirangka bagi menjangkau kawasan yang kurang diberi perhatian seperti kawasan luar bandar, agar manfaat ekonomi kreatif dapat dikongsi secara menyeluruh,” katanya.

Nik Kamaruzaman berkata selepas Kota Bharu, program ini akan diteruskan di dua lagi negeri iaitu Johor dan Perak sebagai sebahagian usaha memperluaskan capaian program melibatkan inisiatif kreatif.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh warga Kelantan termasuk dari daerah seperti Pasir Puteh dan Jeli untuk sama-sama memeriahkan pesta yang melibatkan pelbagai pihak berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan