AM

Sarawak Komited Hubungkan Kawasan Luar Bandar Melalui Penyediaan Jalan Raya - Uggah

18/06/2025 07:11 PM

MIRI, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan seluruh atau sekurang-kurangnya sebahagian besar penempatan luar bandar dihubungkan dengan akses jalan raya menjelang 2030 menerusi pembangunan infrastruktur yang dipertingkatkan di bawah sembilan agensi pembangunan wilayahnya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setiap agensi berkenaan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dan penting bagi peruntukan terbabit digunakan sepenuhnya sejajar dengan rancangan pembangunan ekonomi untuk komuniti luar bandar.

“Ia akan menjadi isu sekiranya peruntukan itu tidak dibelanjakan. Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan agar ia dimanfaatkan segera.

“Apabila orang ramai menyedari tentang peruntukan ini, mereka mengharapkan tindakan untuk kesalinghubungan jalan raya dan taraf hidup lebih baik. Jika tidak, mereka akan meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan dan wakil rakyat menerusi media sosial,” katanya. 

Berucap pada sesi makmal Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bagi cadangan projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 di sini hari ini, beliau berkata semua agensi pelaksana perlu menyelesaikan sebarang kelewatan melalui perbincangan di peringkat akar umbi.

Untuk HDA, Uggah berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur dan ekonomi, sekali gus berharap baki berjumlah RM500 juta akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.

 Beliau berkata meskipun kawasan Baram mempunyai banyak bekas jalan balak, kebanyakan laluan terbabit memerlukan penyelenggaraan, naik taraf serta penggantian jambatan.

  “Keadaannya agak rumit. Kita perlu mencari penyelesaian penyelenggaraan jangka panjang,” katanya sambil menambah beliau akan mengetuai pasukan Jabatan Kerja Raya Sarawak ke Bario bulan depan untuk menilai keadaan di kawasan terlibat.

 Mengenai prospek ekonomi, Uggah berkata Bario berpotensi dalam sektor pertanian khususnya penanaman kopi dan buah markisa, produk kraf tangan serta penternakan kerbau.

“Terdapat banyak kerbau liar milik penduduk setempat. Saya cadangkan pemilik agar menternak kerbau itu. Di Stesen Penternakan Kerbau Meragang di Limbang, penghasilan keju daripada susu kerbau sedang dijalankan,” katanya.

Uggah turut menekankan potensi memanfaatkan budaya dan adat unik kawasan itu untuk membangunkan sektor pelancongan.

Turut hadir Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil, ADUN Telang Usan Datuk Dennis Ngau serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan