KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Proses membaik pulih jalan raya berisiko di seluruh negara akan dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan terhadap kerosakan kritikal, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan hampir RM4 bilion bagi membaik pulih kesemua jalan berisiko, namun kekangan kewangan menyebabkan ia perlu dilaksana secara berfasa.
“Kita (KKR) sudah ada data lengkap jalan-jalan berbahaya dan keperluan kewangan. Kalau nak baik pulih semuanya, kita perlukan RM4 bilion tetapi kita tidak mempunyai peruntukan sebanyak itu, jadi kita buat secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Gawai @ KKR 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha KKR mengesan dan membaiki kerosakan jalan raya susulan kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 9 Jun lepas.
Nanta berkata pihaknya turut merancang penambahbaikan JRTB melibatkan peruntukan RM55 juta tahun ini, termasuk pemasangan 385 lampu jalan dan penandaan garisan jalan.
Beliau berkata kementerian juga telah mengenal pasti jalan yang berada dalam keadaan teruk melalui pangkalan data sedia ada dan kerja baik pulih dibuat mengikut keutamaan.
“Kita utamakan (jalan) yang kritikal dahulu. Yang rosak tetapi tidak terlalu teruk, kita tangguhkan sedikit,” katanya.
Nanta berkata kerja penilaian turut dibuat menggunakan kaedah Penilaian Keadaan Turapan (PCA) yang membantu menentukan lokasi memerlukan tindakan segera.
Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa PCA bagi laluan JRTB Gerik-Jeli bermula pada 13 Mac dan selesai 13 Mei, menggunakan teknologi Multi Laser Profiler (MLP) dan Falling Weight Deflectometer (FWD).
Mengulas cadangan pemasangan penghadang jalan di lokasi berisiko, beliau berkata KKR bersikap terbuka dan akan meneliti pandangan semua pihak termasuk netizen.
“Kita ambil kira pandangan daripada semua - rakyat, netizen dan pihak berkaitan. Kita akan kaji cadangan dan buat penelitian lanjut,” katanya.
Majlis Rumah Terbuka Gawai @ KKR 2025 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, KKR turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta pengurusan tertinggi dan petugas KKR.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial