AM

Nik Nazmi Letak Jawatan Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam

28/05/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai depan. 

Nik Nazmi dalam satu kenyataan memaklumkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025,” katanya.

Nik Nazmi, 43, berkata sejak menerajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 dan kemudian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.

Antara kejayaan dicapai ialah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Nik Nazmi berkata kegagalan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini telah mendorong beliau memutuskan melepaskan jawatan sebagai Menteri.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat yang banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.

“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang,” katanya.

Nik Nazmi berkata tumpuan beliau kini adalah untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa.

Pada pemilihan PKR minggu lepas, Nik Nazmi tewas dalam persaingan yang ditandingi 11 calon.

Jawatan berkenaan dimenangi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan