POLITIK

Fahmi Zainol Tidak Letak Jawatan Exco, Ikrar Ikut Arahan PKR

29/05/2025 06:16 PM

GEORGE TOWN, 29 Mei (Bernama) -- Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Fahmi Zainol tidak akan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri, walaupun kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini. 

Sebaliknya, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri berkata beliau akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, selain setia dengan parti.

“Tidak ada lah, tidak ambil langkah itu (letak jawatan Exco) saya ada pendirian, bila parti lantik jadi kita berkhidmat sehingga habis penggal. Saya ini orang parti lagipun amanah (jawatan Exco) ini, diberikan adalah daripada parti.

“Saya akan jalankan tugas sebagai Exco Kerajaan Pulau Pinang sehingga habis penggal, saya akan turuti apa yang parti berikan kepada saya. Saya akan teruskan amanah ini,” katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.

Pada pemilihan cabang PKR di Pulau Pinang, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, kalah kepada Johari Kassim untuk jawatan Ketua Cabang Jelutong selain gagal dalam persaingan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Selain itu, Fahmi berkata tidak timbul sebarang desakan untuknya meletakkan jawatan dan semuanya berada dalam keadaan terkawal.

Semalam, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakkan jawatan selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR serta Naib Presiden pada pemilihan parti minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan