KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025 akan dikenang melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau yang mengangkat sumpah sebagai sebahagian daripada barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2022 amat terkenal dengan inisiatif utama untuk mencadangkan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau mengemukakan idea berkenaan pada Mei 2023 dalam pertemuan dengan kerajaan negeri Johor.
Rafizi menggerakkan idea bahawa zon ekonomi khas boleh meningkatkan lagi ekosistem perniagaan dan menyediakan peluang lebih besar dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing.
Inisiatif ini telah membuahkan hasil apabila dalam tempoh dua tahun sahaja, JS-SEZ telah muncul sebagai destinasi pelaburan yang menarik syarikat antarabangsa dan penubuhan pusat data.
Selain itu, beliau melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada Februari 2023 bagi menambah pendapatan isi rumah keluarga miskin tegar dan kumpulan B40.
Rafizi yang berasal dari Besut, Terengganu turut mencadangkan klasifikasi kumpulan pendapatan T15, yang bakal menggantikan kategori B40, M40 dan T20 sebelum ini.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada perancangan dan pembentangan belanjawan negara, terutamanya di bawah rancangan pembangunan dan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Ke-11 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Beliau juga telah memperuntukkan banyak masa dan usaha bagi pembangunan dan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU).
PADU merupakan repositori data bagi semua individu dan isi rumah yang terdiri daripada warganegara dan penduduk tetap di Malaysia, yang bertujuan menambah baik perancangan dasar dan pelaksanaan program berasaskan data.
Bagaimanapun, projek berkenaan menerima kritikan berikutan kebimbangan bahawa rakyat digesa untuk mendaftar dan mendedahkan maklumat kewangan serta peribadi mereka.
Rafizi turut terlibat dalam pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang menjadi antara strategi kerajaan untuk memajukan pembangunan Bumiputera ke arah mewujudkan Malaysia sebagai ekonomi serantau yang terkemuka.
Sebelum menggalas peranan sebagai menteri, bekas akauntan berkanun ini pernah berkhidmat di Petronas mulai 2005 hingga 2009 sebagai pengurus kanan dalam perancangan perniagaan, operasi dan teknologi transaksi petrokimia, dan kemudiannya berkhidmat dalam bidang perakaunan, pembelanjaan dan percukaian.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengurus besar di Pharmaniaga.
Rafizi turut meneraju Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor sebagai ketua pegawai eksekutif.
Bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar ini juga telah menubuhkan INVOKE Malaysia pada 2016 --organisasi bukan untung yang memberi tumpuan kepada isu politik, ekonomi dan sosial -- yang kemudiannya berkembang sebagai usaha niaga teknologi komersial.
Terdahulu Rafizi dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025.
Beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
“Sepertimana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat dalam kerajaan,” kata Rafizi.
Baru-baru ini, Rafizi yang menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tewas pada pemilihan parti itu apabila kemenangan berpihak kepada Nurul Izzah Anwar.
Susulan itu, timbul persoalan mengenai kedudukan Rafizi dalam Kabinet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial