Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 29 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan khas pada Dialog Shangri-La ke-22 (SLD) di Singapura, Sabtu (31 Mei), menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu.
Dalam satu kenyataan, MINDEF memaklumkan bahawa persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik itu, yang dihoskan oleh Singapura, akan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun.
Presiden Perancis Emmanuel Macron pula dijadual menyampaikan Ucaptama tahun ini, pada Jumaat (30 Mei).
“Edisi tahun ini, anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) akan disertai 47 negara, termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan serta tokoh akademik terkemuka,” menurut kenyataan itu.
Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam akan menjadi hos majlis makan malam untuk para delegasi pada 31 Mei di Hotel St. Regis.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing akan berucap pada sidang pleno ketujuh pada Ahad (1 Jun) bertemakan “Meningkatkan Kerjasama Keselamatan demi Asia-Pasifik yang Stabil”.
MINDEF turut memaklumkan bahawa Chan akan menjadi tuan rumah sesi meja bulat bersama menteri-menteri pertahanan yang hadir pada 31 Mei dan 1 Jun, serta mengetuai mesyuarat sarapan pagi bersama menteri-menteri pertahanan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan menteri dan pegawai kanan dari pelbagai negara di luar persidangan itu.
Sejak diperkenalkan pada 2002, Dialog Shangri-La telah menjadi platform terbuka dan neutral yang penting untuk pertukaran pandangan mengenai isu-isu serta inisiatif pertahanan dan keselamatan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial