KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kehadiran empat bank utama Malaysia di Laos mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar menarik negara itu, terutamanya cara Bank Pusatnya mengurus institusi kewangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata empat bank utama Malaysia yang beroperasi di Laos itu ialah Malayan Banking Bhd, RHB Bank Bhd, CIMB Group and Public Bank Bhd.
Beliau berkata demikian menerusi satu sidang media bersama susulan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Laos Sonexay Siphandone yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.
Menurut beliau, kehadiran bank utama itu sudah pastinya akan menarik minat syarikat Malaysia untuk melabur di Laos, Kemboja dan Thailand.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan Laos turut membincangkan isu berkaitan kerjasama dari segi latihan dalam semua bidang termasuk pengurusan pelabuhan.
“Saya maklumkan bahawa Pelabuhan Pulau Pinang dan sudah tentu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pastinya akan membantu untuk memastikan terdapat kerjasama yang lebih berkesan dalam latihan dan juga berkongsi kepakaran bersama kami,” kata beliau.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan tentang isu buruh, digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan tenaga alternatif, termasuk nadir bumi.
Selain itu, kedua-dua kerajaan juga mengalu-alukan kemajuan Memorandum Kerjasama antara KTMB (Keretapi Tanah Melayu Bhd), LNRESE (Lao National Railway State Enterprise) dan State Railway of Thailand melibatkan tren ASEAN Express, yang dijangka dapat mengurangkan dengan ketara masa perjalanan merentas negara ASEAN dan ke China.
Anwar berkata beliau dan Sonexay akan menghadiri mesyuarat ASEAN yang akan datang, diikuti pertemuan dengan wakil Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan sesi pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial