AM

PENIAGA PATUHI HARGA SILING JUALAN TELUR AYAM - KPDN

25/06/2024 06:09 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Tiada peniaga dikesan menjual telur ayam melebihi harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan pada 17 Jun lepas, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pemantauan ke atas 1,828 premis borong dan runcit selama tujuh hari sejak penurunan harga telur ayam di pasaran mendapati tiada pihak menjual melebihi harga ditetapkan.

Katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa KPDN digerakkan ke lokasi tumpuan orang ramai berbelanja seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk memastikan peniaga menjual telur ayam pada harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, KPDN telah mengambil tindakan ke atas enam peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu dan dua kes kerana tidak meletakkan tanda harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kini turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa 17 Jun 2024.

Beliau berkata kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Azman berkata KPDN merakamkan penghargaan kepada majoriti peniaga yang mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan kementerian serta menjalankan perniagaan secara beretika.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak KPDN melalui saluran berikut iaitu WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN iaitu eaduan.kpdn.gov.my dan Pusat Panggilan 1-800-886-800.

Aduan boleh dibuat melalui e-mel iaitu e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088/6245.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan