EKONOMI

PELABURAN RINTIS NETR DIANGGAR CECAH RM60.7 BILION, MELEBIHI SASARAN AWAL RM25 BILION - HANIFAH HAJAR

25/06/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Komitmen pelaburan rintis perdana (flagship) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dianggar mencecah RM60.7 bilion berbanding sasaran awal RM25 bilion, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib. 

Beliau berkata ia adalah berdasarkan kepada tahap pelaksanaan 10 projek dan inisiatif rintis perdana yang berdasarkan enam pemacu peralihan tenaga yang telah diperkenalkan.

“Dengan tahap pelaksanaan projek dan inisiatif rintis perdana tersebut, kerajaan turut menganggarkan peningkatan peluang pekerjaan sebanyak 84,544 berbanding sasaran awal 23,000.

“Serta, pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 24,264 gigagram karbon dioksida setara setiap tahun berbanding sasaran awal 10,000 gigagram karbon dioksida setara setiap tahun,” kata Hanifah Hajar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin mengetahui tentang status terkini NETR Fasa Pertama dalam memenuhi sasaran pelepasan sifar karbon bersih termasuk jumlah pelaburan yang dikenal pasti serta bilangan peluang pekerjaan dijana sehingga kini. 

Menurutnya, 10 projek dan inisiatif flagship berdasarkan enam pemacu peralihan tenaga tersebut melibatkan kecekapan tenaga (satu projek flagship); tenaga boleh baharu (tiga projek flagship); hidrogen (dua projek flagship); biotenaga (satu projek flagship); mobiliti hijau (dua projek flagship) dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) (satu projek flagship). 

“Setiap projek dan inisiatif ini mempunyai tahap kematangan yang berbeza dan kebanyakan masih di peringkat prapelaksanaan dan ikut jadual,” katanya. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan