POLITIK

JOHARI SAHKAN TERIMA NOTIS PEMAKLUMAN KEKOSONGAN KERUSI ENAM AHLI BERSATU

24/06/2024 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengesahkan beliau telah menerima notis pemakluman mengenai kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu.

Johari berkata notis tersebut diserahkan Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kepadanya, pada Jumaat lepas.

“Surat sudah dapat Jumaat lepas daripada (Ahli Parlimen) Beluran. Mengikut undang-undang, saya ada 21 hari untuk mengkaji.

“Insya-Allah sebaik saya ada jawaban, saya akan panggil anda (pemberita) untuk maklumkannya...Saya akan usahakannya,” katanya ringkas kepada pemberita, ketika ditemui selepas merasmikan pameran seni sempena 55 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Romania, di Bangunan Parlimen, hari ini.

Pada Khamis lepas, Ronald dalam kenyataan memaklumkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta, telah diserahkan dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ia membabitkan kerusi Parlimen Jeli dan Gua Musang (Kelantan), Bukit Gantang dan Kuala Kangsar (Perak), Tanjong Karang (Selangor) dan Labuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan