EKONOMI

CSI SOLUTION BANTU SYARIKAT SOKONG PRINSIP ESG, TINGKATKAN DAYA SAING - BURSA MALAYSIA

22/06/2024 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengumumkan Penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) yang baru dilancarkan kini tersedia untuk syarikat dari semua saiz, melibatkan konglomerat hingga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tersenarai dan tidak tersenarai.

Menurut Bursa Malaysia, Penyelesaian CSI menawarkan rangka kerja komprehensif untuk membantu syarikat Malaysia menyepadukan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi dan operasi perniagaan mereka serta secara keseluruhan meningkatkan daya saing.

“Penyelesaian CSI akan berperanan sebagai kenderaan pelaksanaan kritikal bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) 2030 dan rangka kerja i-ESG serta Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diumumkan baru-baru ini.

“Ia akan mempercepatkan pertumbuhan industri Malaysia seperti perjalanan penyahkarbonan sektor pembuatan tempatan dan merebur peluang dalam ekonomi hijau,” kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Penyelesaian itu dilancarkan oleh Menteri  Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan disaksikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift.

Tengku Zafrul menekankan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesediaan korporat, menekankan peranan penyelesaian dalam merealisasikan matlamat Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

Beliau berkata platform itu memudahkan pelaporan data ESG dan penyahkarbonan rantaian bekalan, menawarkan produk pembiayaan hijau yang khusus kepada PKS.

"Negara membangun seperti Malaysia bukan sahaja mesti seiring dengan piawaian global tetapi juga memudahkan pematuhan PKS melalui sokongan teknikal dan kewangan. Kami menyasarkan semua sektor dan perniagaan yang penting kepada NIMP dan NSS menggunakan Penyelesaian CSI dan mendedahkan metrik ESG mereka secara seragam, membolehkan penggubal dasar untuk mengukur dengan berkesan dan seterusnya menyokong perjalanan kemampanan perniagaan.

"Dengan menyepadukan pendedahan ESG ke dalam Penyelesaian CSI, syarikat boleh meningkatkan kelayakan kemampanan mereka, mengakses kadar pembiayaan lebih baik dan menarik pelabur beretika, sekali gus memacu kemajuan, pertumbuhan dan kejayaan bersama untuk Malaysia," kata Tengku Zafrul.

Bursa Malaysia berkata pengguna awal Penyelesaian CSI datang daripada sektor ekonomi utama seperti pembinaan, minyak dan gas, pembuatan, logistik, dan automotif, menunjukkan kebolehgunaan universalnya.

Syarikat Malaysia dan pembekal mereka yang mengutamakan penyahkarbonan dan pengurangan pelepasan akan mendapat manfaat daripada kadar pembiayaan yang ditawarkan oleh bank yang mengambil bahagian dalam Penyelesaian CSI.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan