AM

AIDILADHA: PERDANA MENTERI SUMBANG 35 EKOR LEMBU KEPADA 11 WILAYAH FELDA

17/06/2024 04:03 PM

ALOR GAJAH, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang sebanyak 35 ekor lembu kepada 11 wilayah Felda bagi menjalankan ibadah korban bersempena dengan Aidiladha.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata program korban merupakan satu daripada tumpuan diberi perhatian oleh Anwar bagi memberi peluang kepada peneroka mendapat manfaat daripadanya.

"Setiap wilayah berkenaan memperoleh kira-kira tiga ekor lembu bagi pelaksanaan program korban yang rata-ratanya dilaksanakan pada hari ini di seluruh negara melibatkan semua komuniti Felda dan masyarakat setempat.

"Kita dapat lihat kemeriahan program korban hari ini bersama pihak masjid, kepimpinan kampung dan peneroka … nampak suasana muhibah itu berlaku dalam program ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Korban Felda MADANI di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Kawal Selia Felda Jabatan Perdana Menteri Datuk Azlan Johar dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Datuk Mohd Banuri Aris.

Shamsul Iskandar berkata Perdana Menteri berharap golongan peneroka dapat mengambil ibrah daripada ibadah haji untuk melakukan perubahan dalam hidup, sekali gus menjayakan program korban dengan semangat gotong-royong, kerjasama, menyemarakkan rasa hormat-menghormati antara kepimpinan di peringkat akar umbi agar mendapat nikmat daripada program ibadah korban itu.

Terdahulu, beliau berkata program ibadah berkenaan melibatkan penyembelihan lapan ekor lembu serta seekor kambing dan tiga ekor lembu daripadanya merupakan sumbangan daripada Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan