KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membeli barangan keperluan sebagai persiapan sambutan Aidiladha pada Isnin depan.
Tinjauan Bernama di Pasar Tani Tasik Sri Rampai di sini mendapati orang ramai mula mengunjungi lokasi yang menganjurkan Program Jualan Khas Semarak Aidiladha selepas subuh walaupun cuaca hujan.
Pengurus Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pasar Borong Kuala Lumpur Muhd Nur As Shabah berkata lebih 200 set jualan kombo mengandungi ayam setengah ekor, bawang, halia, serai dan kantan dengan harga RM10 habis terjual.
"Kita juga menjual kombo mengandungi dua paket minyak masak bersama tembikai dengan harga sama.
"Selain itu, 340 kampit beras tempatan 10 kilogram (kg) dibawa ke pasar tani itu hari ini yang dijual dengan harga RM26 sekampit," katanya ketika ditemui Bernama di pasar tani yang baru beroperasi sejak tiga bulan lepas itu.
Sementara itu, peniaga daging Osman Abdul Khalid, 28, berkata pasar berkenaan dipenuhi orang ramai seawal selepas waktu Subuh tadi.
"Hari ini sudah lebih 200 kg daging terjual. Kami tidak menaikkan harga walaupun ketika menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha untuk memudahkan semua pelanggan.
"Bagi daging pejal lembut, kami kekalkan dengan harga RM48 sekilogram manakala daging batang pinang hanya RM55 sekilogram," katanya.
Surirumah Faridah Ahmad, 50, berkata beliau mengambil kesempatan membeli barangan seperti ayam, daging dan sayur-sayuran bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama anak-anak yang sudah pulang bercuti.
Tinjauan di Masjid Ibnu Mas'ud, Jalan Damai pula menyaksikan pemindahan Lembu Sado seberat kira-kira 800 kg untuk dibawa ke Kem Tun Ibrahim, Kajang, Selangor dengan menaiki trak tiga tan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi tadi.
Usaha itu adalah sebahagian persediaan program Qurban Perdana 2024 anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha setiap tahun.
Pengurus Komersial dan Gaya Hidup ikhlas.com Yusri Adam berkata kerja-kerja pemindahan dan perjalanan Lembu Sado dilakukan dengan bantuan kakitangan ikhlas.com, sukarelawan dan kariah Masjid Ibnu Mas'ud.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial