AM

FAMA Sasar Nilai Jualan RM40 Juta Di Semarak Syawal Pasar Tani

17/03/2026 01:59 PM

SEREMBAN, 17 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan Program Semarak Syawal Pasar Tani yang berlangsung di seluruh negara selama tujuh hari mampu menjana nilai jualan keseluruhan sebanyak RM40 juta.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata program bermula 14 hingga 20 Mac itu melibatkan 722 lokasi di seluruh negara, termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Medan Niaga Satok di Sarawak serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Agro Bazar Kedai Rakyat serta Agro Bazar Rakyat.

Beliau berkata menerusi program itu, rakyat dapat memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang musim perayaan, di samping memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai hasil pertanian segar.

“Alhamdulillah, sambutan setakat ini amat menggalakkan, dengan perbekalan juga dilihat stabil sekali gus membantu memastikan harga kekal terkawal menjelang Aidilfitri. Program ini turut membuka ruang kepada petani dan usahawan agro untuk meningkatkan jualan serta memperluaskan pasaran produk mereka.

“Setakat ini, kita dapati peniaga mematuhi harga yang ditetapkan, malah lebih murah berbanding pasaran. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program tersebut di Pasar Tani Ampangan di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Aminuddin berkata antara tarikan utama di Pasar Tani Semarak Syawal ini ialah jualan kombo Agro MADANI yang menawarkan kombo ayam, telur dan sayur pada harga RM10 berbanding harga biasa RM17.50.

Program berkenaan turut menampilkan pelbagai promosi barangan segar menjelang Aidilfitri, antaranya jualan daging segar pada harga RM28 sekilogram berbanding harga pasaran RM38 sekilogram dan ayam pencen yang dijual RM10 seekor.

Ditanya mengenai kebimbangan kenaikan harga susulan konflik di Asia Barat, beliau berkata setakat ini bekalan dan harga barangan makanan dalam negara masih stabil.

Aminuddin berkata FAMA akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memastikan rantaian bekalan mencukupi dengan mempelbagaikan sumber perolehan bagi mengelakkan gangguan bekalan pada masa hadapan.

“Sekiranya terdapat gangguan faktor luaran, kita akan kenal pasti punca dan mencari alternatif sumber bekalan bagi memastikan kestabilan harga dapat dikekalkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan