AM

PERMOHOHAN PERMIT SEMBELIHAN LUAR BOLEH DIBUAT HINGGA 20 JUN - VETERINAR

15/06/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Permohonan bagi mendapatkan Permit Sembelihan Luar (PSL) bagi ibadah korban masih boleh dibuat sehingga 20 Jun, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Menerusi kenyataan kepada Bernama, DVS memaklumkan pemohon perlu merujuk Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah semasa mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) ternakan bagi lokasi pengeluaran permit sama ada perlu dimohon di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah atau Rumah Sembelih DVS yang terdekat.

“Penyembelihan yang dijalankan di luar rumah sembelih seperti masjid, sekolah, taman perumahan dan lain-lain lokasi, perlu mendapatkan kebenaran melalui permohonan permit penyembelihan luar yang boleh dipohon di Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri atau daerah,” menurut kenyataan itu.

DVS memaklumkan bagi yang ingin membuka rumah sembelih pula boleh membuat permohonan dengan mengisi borang permohonan yang boleh didapati di laman sesawang DVS di https://www.dvs.gov.my/.

Menurut kenyataan itu, terdapat 27 rumah sembelihan jabatan itu di seluruh Semenanjung Malaysia sedia beroperasi bagi tujuan ibadah korban, ketika perayaan yang akan disambut Isnin ini.

DVS turut menganggarkan lima peratus penyembelihan luar masjid atau surau, akan melibatkan permintaan 1,776 ekor lembu atau kerbau dan 1,051 ekor kambing/bebiri.

Sementara itu bekalan ternakan korban untuk Hari Raya Aidiladha di seluruh negara tahun ini dijangka mencukupi, berdasarkan kepada bekalan haiwan yang telah diimport dan ternakan tempatan sedia ada di seluruh negara pada masa ini.

DVS memaklumkan stok bekalan lembu atau kerbau tempatan bagi penyembelihan hari raya korban adalah sebanyak 47,077, manakala jumlah haiwan berkenaan yang diimport sehingga Mac lepas sebanyak 2,328.

“Bagi kambing atau bebiri, bekalan tempatan untuk penyembelihan hari raya korban adalah sebanyak 33,858 ekor manakala yang diimport sehingga Mac lepas, sebanyak 1,944 ekor,” menurut kenyataan itu. 

DVS turut menerbitkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban untuk dijadikan panduan dengan mengambil kira aspek kebajikan haiwan, keselamatan makanan serta undang-undang dan peraturan, berhubung pemantauan ternakan korban, premis dan operasi penyembelihan serta pengurusan sisa ternakan untuk mengelakkan risiko jangkitan penyakit zoonotik.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan