AM

Persidangan Wanita Antarabangsa Di Sabah Ogos Ini Dijangka Dihadiri 500 Peserta

06/06/2024 06:57 PM

KOTA KINABALU, 6 Jun (Bernama) -- Persidangan Wanita Antarabangsa (IWC) pada 14 dan 15 Ogos di sini dijangka membabitkan kehadiran 500 peserta termasuk daripada kalangan profesional, pegawai kerajaan dan pemimpin pengurusan, dan juga usahawan lelaki.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata acara yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Beliau berkata persidangan dengan tema 'Memperkasa Pemimpin Wanita, Memecah Tembok Halangan, Membentuk Masa Depan' itu juga penting bagi memupuk persekitaran yang membolehkan idea-idea terus berkembang, perkongsian boleh dijalin dan pemimpin boleh muncul.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan lebih ramai wanita Malaysia di Sabah menghadiri persidangan itu bagi tujuan pendedahan kepada ilmu, peningkatan peribadi dan profesionalisme ke arah mencapai pemerkasaan wanita,” katanya dalam sidang media di SICC di sini hari ini.

Sementara itu Presiden SWEPA Karen Wong berkata selain penyertaan dari Semenanjung Malaysia, peserta lain termasuk dari negara luar seperti India, Singapura, Brunei, Taiwan dan Amerika Syarikat.

“Acara itu bukan sahaja meliputi sesi perkongsian, ia juga akan memberi peluang kepada beberapa ahli SWEPA untuk mempromosi dan mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka di pameran itu,” katanya.

Wong berkata persidangan itu juga menggalakkan penyertaan kaum lelaki kerana SWEPA tidak terikat dengan agenda jantina semata-mata, dan suara kaum lelaki juga perlu didengar.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan