AM

RTS Link: Laluan Kontra Koridor Senai–Johor Bahru Atasi Kesesakan Kritikal - Exco

06/05/2026 03:23 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan laluan kontra di koridor Senai–Johor Bahru, khususnya Jalan Skudai, iaitu antara laluan paling sibuk menuju ke pusat bandar pada waktu puncak sebagai langkah mengatasi kesesakan kritikal susulan pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata langkah itu dilaksanakan secara percubaan selama tiga bulan, dengan sasaran pelaksanaan pada suku ketiga tahun ini serta tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan penambahan kapasiti jalan secara segera di laluan kritikal tanpa perlu menunggu projek berskala besar.

“Hal ini sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa perjalanan harian sebagai penyelesaian interim yang praktikal," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Mohamad Fazli menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) dan Marina Ibrahim (DAP-Skudai) sama ada kerajaan negeri melaksanakan kajian terperinci pengurusan trafik RTS di Skudai dan pelan ketersambungan rangkaian pengangkutan awam dari pusat perumahan serta kaedah mengatasi kesesakan kronik lori kargo di Kota Iskandar.

Mohamad Fazli berkata pelaksanaan fasa pertama laluan kontra itu akan melibatkan jajaran sepanjang enam kilometer, bermula dari Batu 7 Jalan Skudai sehingga Bandar Baru Uda, khusus bagi arah masuk ke pusat bandar.

Laluan tersebut beroperasi pada waktu puncak antara pukul 5.30 pagi hingga 9 pagi dan hanya melibatkan kenderaan ringan, dengan menggunakan sistem movable barrier disokong papan tanda LED serta kawalan trafik di lapangan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan berasaskan data dalam menilai kesiapsiagaan menghadapi peningkatan aliran trafik susulan operasi RTS Link, antaranya menerusi kajian terperinci “Greater Johor Bahru & JS-SEZ Traffic Dispersal and Congestion Action Plan” menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

Mohamad Fazli berkata berdasarkan hasil kajian, terdapat sebanyak 77 hotspot kesesakan dan dikelompokkan kepada 41 kluster, dengan 24 kluster berada pada tahap serius serta melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor Bahru, Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kulai.

Sehubungan dengan itu, katanya, pelbagai langkah mitigasi telah dan sedang dilaksanakan termasuk strategi penyuraian trafik, naik taraf persimpangan kritikal serta pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar bagi meningkatkan kecekapan aliran trafik.

Beliau berkata langkah itu termasuk cadangan projek keutamaan di bawah koridor Skudai antaranya naik taraf jalan dan penutupan jalan di beberapa kawasan.

"Langkah ini telah membantu mengurangkan konflik pergerakan dan menstabilkan aliran trafik, khususnya di Jalan Skudai," katanya.

Bagi memastikan RTS Link berfungsi secara menyeluruh, ketersambungan rangkaian pengangkutan awam juga sedang diperkukuh melalui perkhidmatan Bas.my Johor sebagai laluan utama serta Bas Muafakat Johor sebagai feeder di kawasan perumahan tumpuan di Kota Iskandar.

Selain itu, katanya, pendekatan first mile dan last mile diperkukuh melalui penambahbaikan kemudahan pejalan kaki, laluan berbasikal serta pembangunan kemudahan park and ride di lokasi strategik seperti Sunway Big Box dan Nusa Perintis, bagi mengurangkan kebergantungan pada kenderaan persendirian.

Berhubung isu kesesakan lori kargo di jalan raya, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri menggalakkan penggunaan rel kargo sebagai alternatif menerusi Landasan Perkhidmatan Kargo Kempas Baru–Pasir Gudang.

Beliau berkata landasan sepanjang 39.9 kilometer menghubungkan tiga jajaran utama Kempas Baru, Seelong dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang itu dinaik taraf secara menyeluruh bermula pada Oktober 2024 dan beroperasi pada Mei 2025 dengan kos keseluruhan RM55 juta. 

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri melaksanakan penyelarasan laluan, pengasingan trafik logistik daripada trafik harian, penetapan laluan khusus serta penyelarasan waktu pergerakan lori dengan operasi sempadan dan pelabuhan bagi mengatasi isu kesesakan kenderaan berat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan