| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selamat tiba di Tashkent, Uzbekistan bersempena dengan lawatan khas ke negara itu.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim malam ini, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada 3.10 petang (waktu tempatan) disambut Menteri Pendidikan Persekolahan dan Prasekolah Uzbekistan Ezozkhon Karimova serta Timbalan Menteri Luar Negeri Uzbekistan Usmanov Bobur Masudovich.
Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Ilham Tuah Illias, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Sri Azman Mokhtar dan Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Pada lawatan khas ini, Seri Paduka Baginda selaku Canselor UTM dijadual menyampaikan titah diraja pada persidangan diraja mengenai “Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran” di Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC), Tashkent pada 5 Mei.
Turut dijadualkan hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Seri Paduka Baginda turut dijadualkan menyaksikan lima pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dan Pusat Ketamadunan Islam serta universiti di Uzbekistan.
Raja Zarith Sofiah berangkat ke Uzbekistan dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial