KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Sebuah syarikat menjual dan membeli barang kemas serta empat pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 pertuduhan gagal menyimpan rekod dan mengeluarkan invois cukai yang tidak lengkap antara Mac 2018 dan Ogos 2020.
Bagi pertuduhan pertama, Syarikat Suisse Quiest Sdn Bhd didakwa gagal menyimpan rekod lengkap dan benar yang ditulis secara kemas kini mengenai transaksi RM1,800 iaitu jumlah cukai input yang diikrar dalam penyata GST-03 bagi tempoh bercukai tempoh Ogos hingga September 2018.
Syarikat itu turut berdepan enam pertuduhan gagal menyimpan rekod lengkap dan benar yang ditulis secara kemas kini mengenai jumlah cukai input yang diikar melibatkan enam pembekal di sebuah unit pejabat di Setiawangsa di sini antara 2 Mac 2019 dan 26 Ogos 2020.
Ia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zainuddin Hasim @ Hussain, 42, Nazri Mohd Sidi, 47, Che Sukri Che Abu Bakar, 67, dan Saodah Asmuni, 45, masing-masing selaku Orang Kena Saman (OKS) berdepan 14 pertuduhan gagal menyimpan rekod lengkap dan benar yang ditulis secara kemas kini mengenai jumlah cukai input yang diikrar membabitkan enam pembekal sama di tempat dan tarikh serupa.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dibaca bersama Seksyen 97 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36 (7) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka turut berdepan empat pertuduhan sebagai pengarah syarikat telah mengeluarkan invois cukai yang tidak mengandungi butir-butir yang ditetapkan pada tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 33(2)(b) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) dibaca bersama Seksyen 97 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi tidak membenarkan syarikat itu serta empat pengarahnya dijamin atas alasan kes saman tidak boleh diikat jamin dan menetapkan 31 Julai ini bagi sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kuala Lumpur Mazliza Abdul Wahib manakala peguam Zulkifli Awang mewakili Syarikat Suisse Quiest dan keempat-empat OKS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial