SUKAN

Peluang Pulih Martabat Bola Sepak Negara - Dr Mohammed Taufiq

02/04/2026 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Penurunan ranking pasukan bola sepak negara ke tangga ke-138 dunia seharusnya dilihat sebagai titik tolak kepada reformasi menyeluruh demi mengangkat semula martabat bola sepak tanah air, kata Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata reformasi besar-besaran akan dilaksanakan di peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan kedudukan skuad Harimau Malaya dapat dipulihkan.

Menurut beliau, kemerosotan kedudukan ranking itu juga berkait dengan beberapa isu dan kontroversi di peringkat persatuan yang perlu ditangani secara segera dan berhemah.

“Kami akan laksanakan reformasi besar-besaran di peringkat persatuan itu sendiri untuk memastikan ranking kita itu boleh naik semula.

" Kami di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sentiasa memantau FAM untuk memastikan berlaku perubahan dan reformasi supaya kita dapat melangkah lebih jauh ke hadapan," katanya ketika ditemui di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Kedudukan Malaysia menjunam daripada tangga ke-121 ke tangga ke-138 dunia dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Beliau menegaskan situasi itu tidak boleh dilihat sebagai kegagalan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan pelan pemulihan yang jelas, termasuk memperkukuh pembangunan akar umbi.

"Kita perlu ada exit plan dan fokus utama sekarang adalah memastikan kita mencungkil lebih banyak bakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengulas kegagalan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 pula, Dr Mohammed Taufiq berkata situasi itu perlu dijadikan iktibar.

“Kita melihat ini sebagai sesuatu perkara yang bukan sahaja perlu diambil iktibar tetapi juga memerlukan langkah-langkah yang sepatutnya untuk keluar daripada situasi tersebut,” katanya.

Harapan Malaysia untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut musnah pada saat akhir selepas dikenakan pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam, tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan