AM

Marzuki Mokhtar Dilantik Ketua Pengarah JLKN Baharu

01/04/2026 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

JLKN dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Ya'cob Samiran yang telah menamatkan kontrak perkhidmatan semalam selepas menerajui jabatan itu selama hampir satu tahun tiga bulan.

Marzuki, 59, sebelum ini merupakan Panglima Latihan Tentera Darat ke-24 bagi Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) sejak April 2023.

Sementara itu, Marzuki dalam kenyataan sama, menyatakan komitmennya untuk memperkasakan lagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 serta mencapai objektif program untuk membentuk disiplin, jati diri dan semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai modul latihan yang dilaksanakan.

"Dengan latar belakang dan pengalaman yang luas sebagai Panglima Latihan Tentera Darat sebelum ini, saya yakin dapat memacu lagi jabatan ini dengan lebih cemerlang untuk memastikan objektif program ini tercapai bagi merealisasikan agenda negara," katanya.

Majlis Serah Terima Tugas jawatan berkenaan berlangsung di JLKN, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Marzuki yang dilahirkan di Bagan Serai, Perak pada 16 Mei 1967, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dan Pengajian Pertahanan, telah memulakan karier ketenteraannya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Sarawak.

Beliau mempunyai pengalaman luas selama lebih 40 tahun dalam perkhidmatan dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk ajutan, ketua kompeni, pembantu ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, pegawai memerintah dan Jurulatih Kanan Cawangan Mekanize.

Marzuki juga pernah bertugas sebagai Pengarah Cawangan Operasi dan Latihan di Markas Pemerintahan Medan Timur, Ketua Jurulatih, seterusnya Pengarah Kolej Pegawai di Akademi Tentera Darat, Ketua Staf Divisyen Ketiga Infantri Malaysia serta Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan