DUNIA

RAKYAT MALAYSIA AKAN DAPAT BUAT PEMBAYARAN QR DI KOREA SELATAN GUNA PAYBOOC TIDAK LAMA LAGI - DUTA

04/06/2024 10:18 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia akan dapat membuat pembayaran QR di Korea Selatan menggunakan aplikasi Paybooc tidak lama lagi, hasil kerjasama antara BC Card dari Korea Selatan dan PayNet Malaysia.

Bermula bulan ini, fasa pertama kerjasama ini membolehkan rakyat Korea Selatan membuat pembayaran QR di Malaysia menggunakan aplikasi e-dompet BC Card.

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae memberitahu Bernama bahawa inisiatif yang dilancarkan baru-baru ini untuk memudahkan pelancong Malaysia dengan mengurangkan masalah dan kos yang berkaitan dengan pertukaran mata wang dan transaksi kad kredit.

“Dengan pelancaran perkhidmatan QR, saya berharap perdagangan barangan serta usaha untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara akan terus berkembang, seterusnya menjadikan negara kita rakan kongsi yang kukuh dalam sektor kewangan.

“Saya turut berharap fasa kedua perkhidmatan QR dapat dilaksanakan dengan segera supaya rakyat Malaysia juga dapat menikmati pembayaran yang mudah di Korea Selatan. Kedutaan kami dan kerajaan Korea Selatan sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata: “Dengan kemasukan BC Card ke Malaysia, negara utama di rantau ini, saya yakin ia akan terus berkembang ke negara-negara Asia Tenggara yang lain. Saya turut berharap PayNet akan menggunakan kerjasamanya dengan Korea Selatan sebagai asas untuk berkembang menjadi sebuah institusi global.”

Yeo berkata kerjasama itu merupakan satu pencapaian bersejarah, kali pertama institusi kewangan Korea Selatan mempunyai hubungan secara langsung dengan rangkaian pembayaran nasional Malaysia.

Menurut data kedutaan, jumlah pelancong Korea Selatan yang melawat Malaysia telah meningkat semula dengan ketara berikutan penurunan semasa pandemik COVID-19.

Pada 2019, Malaysia menerima 673,065 pelancong dari Korea Selatan tetapi jumlah ini jatuh kepada 3,028 pada 2021 berikutan sekatan perjalanan. Bagaimanapun, dengan kelonggaran kepada sekatan ini, ketibaan meningkat kepada 400,853 pada 2023, menunjukkan pemulihan yang kukuh.

Begitu juga, pelancong Malaysia yang melancong ke Korea Selatan menyaksikan peningkatan semula yang ketara.

Daripada 408,590 pengunjung pada 2019, jumlahnya merosot kepada 4,488 pada 2021 tetapi melonjak kepada 259,872 pada 2023 dengan pembukaan semula perjalanan antarabangsa, menyaksikan pertumbuhan semula sektor pelancongan yang kukuh antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan