FOKUS BERNAMA

PERANCANGAN RAPI LENGKAPKAN TANJONG MALIM SEBAGAI BANDAR AUTOMOTIF NEGARA

01/06/2024 09:38 AM
Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar & Syamsiah Sahat

Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang direncanakan bermula tahun ini di sini, menuntut pelan terperinci dan komitmen padu daripada pihak terlibat, termasuk pihak berkuasa tempatan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) selaku "tuan rumah”.

Projek yang bertujuan membangunkan bandar automotif negara itu diterajui oleh  pengeluar kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd  bersama-sama syarikat infrastruktur Malaysia, DRB-Hicom Berhad. 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai RM32 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang dan inisiatif itu diunjur dapat menyuntik nafas baharu kepada industri automotif Malaysia.

AHTV yang akan dibangunkan di Bandar Proton, bakal menjadi hab bagi penyelidikan dan pembangunan komponen automotif berteknologi tinggi serta membantu Malaysia menjadi pemimpin rantau dalam pengeluaran kenderaan generasi seterusnya (NxGV).

Menurut MIDA lagi, projek itu juga merangkumi penubuhan sebuah universiti penyelidikan yang akan membantu meningkatkan keupayaan pekerja sektor automotif negara, selain membolehkan Malaysia kekal berdaya saing dalam pasaran automotif global.

 

PERSIAPAN

Mengulas projek itu kepada Bernama, Yang Dipertua MDTM Mohd Ikram Ahmad berkata bandar tersebut sudah mempunyai asas-asas yang diperlukan bagi menyokong pembangunan AHTV, yang disediakan menerusi pelaksanaan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Muallim 2035. 

pic-2

Katanya, visi utama  RTD Muallim 2035 adalah “Gerbang Automotif Negara dan Mesra Belia” yang menjadi asas  kepada perancangan dan kawalan pembangunan MDTM, khususnya dalam memastikan dasar serta strategi di peringkat nasional dapat direalisasikan berdasarkan empat teras, iaitu ekonomi berdaya saing, dinamik dan bernilai tinggi; persekitaran kehidupan inklusif dan berdaya huni; koridor hijau dan ekosistem mampan; serta perhubungan dan infrastruktur efisien dan mampan.

"Terdapat 22 strategi dan 130 tindakan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam RTD Muallim 2035 ini,  melibatkan tiga mukim utama, iaitu Mukim Hulu Bernam Timur, Hulu Bernam Barat dan Mukim Slim.

"Konsep pembangunan menekankan pada zon tumpuan dan potensi pembangunan perbandaran, zon pengekalan dan pemuliharaan serta zon agropolitan," katanya.

Jelas beliau, pada ketika ini ada tiga kawasan tumpuan utama industri di bawah pentadbiran MDTM, iaitu Kawasan Industri Bandar Proton, Kawasan Industri Kota Malim Prima dan Kawasan Industri Bandar Behrang 2020.

 

PERUMAHAN

Menurutnya, disebabkan oleh kerancakan pembangunan serta kedudukan Muallim yang bersempadan dengan Selangor, berlaku pertambahan penduduk secara mendadak sejak belakangan ini, mewujudkan permintaan tinggi terhadap perumahan.

Antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu ialah pemindahan secara berperingkat pekerja kilang Proton Shah Alam ke Tanjong Malim, selain peningkatan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pada ketika ini mencecah 25,000 orang.

 "Keadaan ini menjadikan stok perumahan semakin mendesak. Maka dengan itu, banyak kawasan perumahan yang telah diluluskan oleh MDTM, melibatkan hampir 3,000 unit perumahan mampu milik menjelang 2025.

"Berdasarkan data asas MDTM, sebanyak 13,143 unit rumah telah dibina di daerah Muallim setakat September 2023, selain  2,634 unit sedang dibina dan 4,169 unit telah diluluskan," katanya.

pic-3

Mohd Ikram berkata RTD Muallim 2035 mengunjurkan populasi daerah itu sekitar 158,000 orang menjelang 2035 yang memerlukan stok perumahan kira-kira 33,000 unit. 

Pada masa sama, beberapa projek pembangunan sedang berlangsung di daerah itu, antaranya Projek Pembangunan Bercampur Jalan Maktab, perumahan Bukit Wangsa Setia, Behrang Sentral, Perumahan Proton City, Projek Perumahan Penjawat Awam, Perumahan Taman Wira dan perumahan Bandar Behrang 2020.

Katanya, usaha menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik turut diambil bagi menarik kedatangan pelabur di samping menjaga keselesaan penduduk. 

"Ini termasuklah penyediaan kemudahan jalan raya, telekomunikasi, bekalan air, tenaga elektrik dan yang paling utama adalah paip gas, yang merupakan satu utliti penting bagi sektor industri.

"Pihak MDTM dengan kerjasama semua pihak, akan membantu khususnya daerah Muallim dalam memacu pembangunan terutamanya industri dengan lebih inklusif, sejajar  hasrat negara menjadikan Tanjong Malim sebagai satu tumpuan automotif global pada masa akan datang," katanya.

 

PERTUMBUHAN SEKTOR KOMERSIAL 

Menurut Mohd Ikram lagi, daerah Muallim juga menyaksikan pertumbuhan sektor komersial dengan pembinaan sebuah pasar raya di Tanjong Malim dan Behrang Sentral.

“Terdapat beberapa cadangan melibatkan pembangunan komersial dan hospital swasta yang masih dalam perbincangan di kawasan Mukim Hulu Bernam Timur," tambah beliau.

pic-4

Sehubungan dengan itu, pewujudan AHTV akan tambah merancakkan pertumbuhan daerah tersebut yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya.

Oleh itu katanya, masyarakat juga perlu bersedia untuk bergerak seiring perubahan pembangunan hasil kewujudan AHTV tersebut.

Pada masa sama kata beliau,  AHTV  tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat bantuan dan kerjasama daripada semua pihak.

"Pentadbiran (MDTM) ini sentiasa bersedia  untuk merealisasikan dasar-dasar daripada kerajaan negeri dan persekutuan. Pentadbiran ini berhasrat menjadikan Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai Majlis Perbandaran Tanjong Malim dalam tempoh lima tahun," katanya.

 

BUKAN ‘BANDAR HANTU’ 

Ditanya tentang tanggapan umum bahawa Tanjong Malim adalah “bandar hantu”, iaitu sebuah bandar yang sepi lantaran tidak ramai penduduk, Mohd Ikram berkata hal itu tidak benar kerana kewujudan UPSI, atau nama asalnya Sultan Idris Training College ketika ditubuhkan pada 1922, menarik kedatangan ramai pelajar dari seluruh negara.

"Seterusnya, kita ada kilang Proton yang dibuka dan mula beroperasi di kawasan Proton City, Tanjong Malim pada November 2003. Kewujudan kilang ini membawa pembangunan di kawasan sekitar seperti perumahan baharu, bangunan komersial dan industri serta taman rekreasi.

"Terdapat banyak faktor lain yang menjadikan Tanjong Malim terus menjadi kawasan tumpuan ramai pengunjung dari seluruh Malaysia serta luar negara, antaranya keunikan gastronomi seperti pau dan juga aktiviti ekopelancongan serta aktiviti lasak seperti white water rafting (berakit meredah jeram) dan pendakian gunung," katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan