AM

Gelombang Haba Tidak Halang Pelancong Kunjungi Destinasi Pelancongan  

24/03/2026 04:53 PM

Oleh R.Ratcharathan

GEORGE TOWN, 24 Mac (Bernama) -- Cuasa panas di Pulau Pinang, khususnya di daerah Timur Laut, tidak menghalang pelancong daripada mengunjungi kawasan menarik apabila destinasi pelancongan popular di negeri ini terus dikunjungi sempena cuti perayaan Aidilfitri dan cuti sekolah.

Tinjauan Bernama di Jeti Chew, Weld Quay, Armenian Street dan Padang Kota di sini mendapati kedatangan pelawat tidak terjejas, yang menyaksikan ramai pengunjung membawa payung, minuman sejuk dan memakai topi sambil menikmati keindahan bandar warisan di negeri ini.

Wang Fang, 30, dari China berkata cuaca panas tidak menjejaskan keseronokan dan menyifatkan Pulau Pinang sebagai destinasi mesra pelancong.

“Walaupun panas, saya tetap seronok berada di sini. Terdapat pelbagai jenis minuman dan tempat untuk menyejukkan diri, jadi ia tidak menjadi masalah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jeti Chew, hari ini.

Nurul Nadhirah Mohd Aiman, 24, dari Kuala Lumpur pula berkata dia mengambil peluang mengunjungi Armenian Street untuk sesi fotografi Aidilfitri.

“Saya datang ke Armenian Street untuk sesi fotografi raya. Selain berjalan kaki, saya juga menaiki beca untuk mengelak cuaca panas. Sebenarnya agak menyeronokkan kerana sebelum ini saya tidak pernah menaiki beca di Pulau Pinang.

"Ramai pelancong asing kelihatan selesa walaupun cuaca panas, mungkin rakyat Malaysia yang lebih risau tentang cuaca terik ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang terus menarik kedatangan pelancong kerana menawarkan pelbagai aktiviti dalam bangunan tertutup dan pada waktu malam.

Beliau berkata lokasi seperti Cheong Fatt Tze Mansion dan Penang Automotive Gallery serta kafe berhawa dingin, premis makanan dan minuman serta pusat beli-belah menyediakan alternatif kepada pelawat ketika cuaca panas.

“Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti pelancongan pada sebelah malam seperti Ferringhi Bay, Love Lane, Entopia by Night dan pemandangan suasana malam dari Bukit Bendera,” katanya.

Wong berkata Bukit Bendera khususnya terus mencatat kunjungan pelawat yang ramai tinggi dengan jumlah penumpang direkodkan sebanyak 5,800 pada 20 Mac; 8,900 (21 Mac); 9,800 (22 Mac) dan 8,400 (23 Mac), menjadikan jumlah untuk empat hari mencecah hampir 33,000 pelawat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang (MAH) Datuk Tony Goh berkata kadar penginapan hotel sepanjang tempoh perayaan dan cuti sekolah kekal memberangsangkan, iaitu antara 60 hingga 80 peratus.

Beliau berkata gelombang haba tidak menjejaskan industri pelancongan dan hotel di negeri ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam melaporkan 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada di bawah tahap satu (amaran), termasuk daerah Timur Laut di Pulau Pinang.

Tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, manakala tahap satu (tahap berjaga-jaga) merujuk kepada suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius sepanjang tempoh yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan