EKONOMI

Cmm Lancar Panduan Sektoral Pks Bagi Lima Bidang Utama Ekonomi

30/05/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Capital Markets Malaysia (CMM), sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), hari ini melancarkan garis panduan sektoral merangkumi aspek pendedahan alam sekitar dan sosial bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Panduan khusus bagi PKS dalam rantaian bekalan yang merangkumi lima sektor penting dalam ekonomi Malaysia seperti tenaga, pengangkutan dan logistik, pembinaan dan hartanah, pertanian serta pembuatan.

Dalam kenyataannya, CMM berkata panduan itu juga lanjutan daripada SEDG atau Panduan Pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dikeluarkan pada 18 Okt, 2023, yang memberi garis panduan diperkemas serta diseragamkan yang diharapkan daripada syarikat-syarikat beroperasi dalam rantaian bekalan global.

“Malaysia adalah negara pertama yang mengeluarkan gaaris panduan pendedahan untuk PKS yang diseleras dengan pelbagai kerangka pendedahan ESG global dan tempatan.

“Ini bagi menggalakkan lebih banyak PKS melaksanakan amalan pelaporan ESG terbaik ketika negara secara kolektif menjalani transformasi serta meningkatkan ekonomi di peringkat tempatan serta antarabangsa,” katanya.

CMM berkata garis panduan sektoral yang baru diperkenalkan itu dirangka sebagai reaksi terhadap maklum balas yang diterima agensi itu ketika sesi perundingannya dengan awam dan pasaran bersama kumpulan berkepentingan, termasuk syarikat multinasional, syarikat senaraian awam, PKS, bawan kawal selia serta yang terbabit dalam dasar.

Pengerusi Eksekutif SC merangkap Pengerusi CMM Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata kerumitan serta cabaran menjalankan perniagaan di peringkat tempatan serta global tidak memaparkan tanda-tanda kian berkurangan.

Malah, beliau berkata wujud peningkatan penelitian terhadap syarikat dan perniagaan, terutama yang beroperasi dalam rantaian bekalan global dengan PKS Malaysia paling terdedah.

Sehubungan itu, katanya, pelancaran SEDG menjadi tindak balas kepada cabaran yang diketengahkan oleh PKS dalam penglibatan awal dengan pihak berkepentingan pasaran.

“Hari ini, kami meningkatkan panduan dalam lima sektor untuk memastikan PKS terbabit bersedia dalam usaha mengurangkan kelemahan khusus industri. Pada masa sama, mereka juga dapat mengikuti skala perubahan yang diperlukan untuk memenuhi standard nasional dan global.

“Industri yang diutamakan dalam panduan sektor itu juga berdasarkan kepentingan sumbangan masing-masing terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, penyertaan ekonomi dan impaknya. Atas alasan ini, garis panduan ini memaparkan tumpuan lebih komprehensif dan terperinci terhadap pendedahan alam sekitar dan berkaitan tenaga kerja,” katanya.

Pengurus Besar CMM Navina Balasingam berkata SEDG dirangka dengan kebolehgunaan yang meluas manakala pelancaran panduan sektor SEDG itu bertepatan dalam tempoh penting ketika agensi global dan badan kawal selia memperluas tumpuan ESG terhadap risiko berkaitan alam semula jadi dan tanggungjawab hak asasi manusia.

“Panduan ini adalah sumber yang tepat pada masanya kerana memberi perhatian kepada pertimbangan alam sekitar dan sosial serta menjadi aspek utama PKS dalam lima industri ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan