EKONOMI

Lebih 81 Peratus Syarikat Senaraian Awam Di Bursa Malaysia Patuh Syariah - Pengerusi

29/05/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Sebanyak 820 syarikat atau 81.3 peratus daripada keseluruhan 1,009 syarikat senaraian awam (PLC) di Bursa Malaysia patuh Syariah setakat 27 Mei, 2024, kata Pengerusi Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata bursa itu telah memudahcara pertumbuhan pasaran modal Islam menerusi platform dagangan, penjelasan dan penyelesaian patuh Syariahnya yang dinamakan Bursa Malaysia-i.

"Sesiapa sahaja boleh berdagang dalam mana-mana saham patuh Syariah, bermula daripada pesanan, perdagangan, penyelesaian dan depositori," katanya semasa sesi panel bertajuk "Memupuk Peningkatan Kewangan melalui Pasaran Modal" di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini hari ini.

Abdul Wahid juga menyatakan bahawa saiz pasaran modal Islam Malaysia menyumbang 63 peratus atau RM2.5 trilion daripada jumlah saiz pasaran modal Malaysia sebanyak RM3.95 trilion pada akhir Mac 2024.

"Pasaran modal Islam telah berkembang dengan baik dan menyaksikan pertumbuhan yang ketara sepanjang tahun," katanya.

Menurut Abdul Wahid, pasaran ekuiti terus menunjukkan peningkatan pasca pandemik COVID dengan permodalan pasaran melepasi RM2 trilion dan purata nilai dagangan harian meningkat 49.6 peratus tahun setakat ini pada 27 Mei, 2024 kepada RM3.07 bilion.

"Pada 7 Mei kami melepasi penanda aras RM2 trilion (dalam permodalan pasaran) dan setakat semalam kami ditutup pada RM2.05 trilion, iaitu kira-kira peningkatan 14 peratus berbanding akhir tahun lepas," katanya.

Dari segi penyenaraian baharu atau tawaran awam permulaan (IPO), Abdul Wahid berkata sehingga 27 Mei, bursa itu menyaksikan sejumlah 17 penyenaraian baharu dengan jumlah RM2 bilion modal dikumpulkan, dan dua lagi syarikat berjaya disenaraikan setakat ini, membawa jumlahnya kepada 19 syarikat.

"Ini bererti kami akan mempunyai jumlah syarikat tersenarai tertinggi tahun ini, iaitu melebihi sasaran 40 syarikat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan