AM

DBKL AKAN SEDIAKAN EMPAT KONTRAKTOR DI SETIAP KAWASAN PARLIMEN BAGI SELENGGARA POKOK DI KL

29/05/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan empat kontraktor bagi setiap kawasan Parlimen untuk kerja-kerja penyelengaraan pokok di Kuala Lumpur. 

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam hantaran di laman X hari ini selepas mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

“Selepas melawat warga Lembah Pantai yang terjejas akibat ribut baru-baru ini, saya bertemu Datuk Kamarulzaman Mat Salleh di Menara DBKL, semalam.

“Kami bincang isu perubahan iklim dan peranan Jabatan Pembangunan Landskap Dan Rekreasi DBKL dalam memastikan penyelengaraan pokok di Kuala Lumpur dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. 

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata DBKL juga berhasrat untuk menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menanam 100 pokok bagi setiap pokok yang ditebang, selaras dengan usaha untuk menghijaukan bandaraya dan Malaysia secara amnya. 

Pada 25 Mei lepas, beberapa kawasan di Kuala Lumpur khususnya sekitar Lembah Pantai dan Bangsar dilanda hujan lebat serta angin kencang hingga mengakibatkan insiden pokok tumbang dan bumbung bangunan terbang. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan