AM

HBN2024: PERUNTUKAN TAMBAHAN RM3 JUTA BANTU PERHEBAT PROGRAM BELIA

25/05/2024 09:08 PM

MELAKA, 25 Mei (Bernama) -- Pengumuman tambahan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dilihat dapat memperhebatkan lagi program berkaitan belia menerusi Rakan Muda di seluruh negara

Presidennya Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata pelaksanaan pelbagai aktiviti juga akan dapat memperkasa lagi peranan golongan belia sebagai penggerak semangat dan berbakti kepada masyarakat serta negara.

"Sudah tentu lebih banyak lagi program yang akan kita lancar dan laksanakan bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda.

"Setakat ini kita telah laksanakan program Rakan Demokrasi, Program Sekolah Rukun Negara selain sekolah politik yang memberi pendidikan asas berkaitan demokrasi dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan (HBN) 2024 hari ini, mengumumkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM3 juta kepada KBS bagi program belia.

Melaka menjadi tuan rumah sambutan HBN2024 peringkat kebangsaan selama tiga hari bermula semalam dan sebanyak 72 aktiviti menerusi 10 segmen gaya hidup dilaksanakan sepanjang sambutan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan