AM

FAHMI ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KEPADA TUN WAN JUNAIDI 

24/05/2024 05:15 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri hari ini.

Turut sama dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Biro Sarawak Hamdan Ismail.

Fahmi yang ditemui pemberita berkata kunjungan hormat itu diadakan bagi menjemput Wan Junaidi ke Majlis Makan Malam bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada Ahad.

“Kita hadir mempersembah jemputan ke jamuan makan malam bersempena dengan HAWANA 2024. Ini ialah tahun ketiga penganjuran HAWANA. Perbezaan tahun ini kita ada menambah beberapa program untuk melibatkan lebih ramai pelajar bersama rakan wartawan untuk mereka lebih mengenali bidang kewartawanan.

“Selain itu, kita juga ada acara forum untuk membincangkan cabaran hala tuju dan masa depan bagi bidang media dan kewartawanan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat berkenaan.

HAWANA 2024 yang berlangsung selama tiga hari di sini bermula esok, mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”.

Pelbagai program dirangka antaranya Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa yang akan dirasmikan oleh Fahmi di Pustaka Negeri di sini pada sebelah pagi Sabtu, selain Pameran HAWANA 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre selama tiga hari yang turut bermula Sabtu.

Sebanyak 20 reruai pameran pelbagai agensi akan mempamerkan perkhidmatan mereka, selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat serta menyertai bermacam-macam aktiviti yang disediakan.

Turut mengisi HAWANA 2024 ialah Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan "Evolusi Media dalam Era Digital" yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad dan akan dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi mengenali keunikan budaya serta pembangunan terkini Bumi Kenyalang dengan lebih dekat, peserta HAWANA 2024 akan dibawa melawat lokasi ikonik di sekitar bandar raya ini, antaranya Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana, dan Dataran Ibu Pertiwi menerusi program "Juh Raon" atau "jom bersiar-siar" dalam bahasa Melayu Sarawak, pada Ahad.

Pada Ahad juga, para peserta sambutan HAWANA 2024 akan diraikan dalam Majlis Makan Malam bersama Wan Junaidi.

HAWANA tahun ini ialah penganjuran edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, Melaka (2022) serta Perak (2023), dan tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan