AM

PEMULIHARAAN HUTAN: SARAWAK TERIMA PERUNTUKAN RM55.4 JUTA SEJAK 2019

15/06/2024 06:46 PM

SIBU, 15 Jun (Bernama) -- Sarawak menerima peruntukan insentif Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) yang terbesar berjumlah RM55.4 juta dari tahun 2019 sehingga 2024 daripada kerajaan Persekutuan bagi membiayai kerja-kerja pemuliharaan hutan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Sarawak merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan keluasan hutan di negara ini iaitu seluas 7.6 juta hektar atau 42.5 peratus.

Menurutnya, peruntukan tersebut disumbangkan kerajaan Persekutuan kepada kerajaaan negeri seluruh negara bagi tujuan pemuliharaan hutan di negara ini bermula tahun 2019.

“Program ini bermula dengan RM60 juta pada 2019 dan sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, beliau telah meningkatkan dana itu kepada RM150 juta dan tahun ini ditingkatkan lagi kepada RM200 juta,”katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Bahagian Sibu di sini, hari ini.

Beliau berharap dengan peruntukan besar tersebut dapat digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja konservasi dan pihaknya akan melihat beberapa syarat lagi untuk memastikannya lebih efektif bukan hanya kuantiti hutan yang dipelihara tetapi juga kualiti.

Nik Nazmi berkata kementeriannya kini agresif melaksanakan agenda penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok yang selaras dengan usaha menerapkan kesedaran dan juga semangat cintakan khazanah sumber asli di negara ini.

“Kita telah mencatatkan tanaman 89.09 juta pokok sehingga 11 Jun 2024 di seluruh negara dan seperti yang kita maklum juga, Sarawak telah merekodkan penanaman lebih 35 juta pokok,” katanya.

Katanya hutan di Malaysia adalah antara yang paling baik di dunia dan antara yang paling tua terutama biodiversiti, tumbuhan dan haiwan di samping merupakan antara 17 negara yang dipanggil megadiverse paling hebat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan