AM

PRASARANA PERUNTUK RM50 JUTA BAGI KERJA BAIK PULIH KEMUDAHAN STESEN MONOREL

23/05/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pelbagai kemudahan di stesen monorel, yang dijangka bermula seawal Oktober ini hingga April tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerja-kerja menaik taraf itu antaranya melibatkan pemulihan kerosakan lif di 11 stesen, membaiki pintu antara platform dan monorel serta tandas, dan melengkapkan kawasan stesen dengan sejumlah kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata bagi kerosakan lif kontrak pembaikan telah dianugerahkan dan akan dilaksanakan bermula Oktober ini hingga April tahun depan, antaranya melibatkan Stesen Imbi, Hang Tuah, Tun Sambanthan, Raja Chulan, Bukit Nenas, KL Sental, Chow Kit, Titiwangsa dan Maharajalela.

“Selain itu, projek yang akan diberi perhatian ialah pembaikan pintu antara platform dan monorel yang tidak berfungsi. Projek ini akan memakan masa beberapa bulan untuk disiapkan dengan fasa pertama melibatkan empat stesen (KL Sentral,Tun Sambanthan, Maharajalela dan Hang Tuah) yang akan siap Oktober.

“Fasa kedua pula melibatkan tujuh lagi stesen menjelang Disember,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Wisma Monorail di sini, hari ini.

Loke berkata pembaikan pintu itu penting kerana terdapat beberapa insiden penumpang terjatuh di landasan trek monorel sebelum ini, tambahan pula perkhidmatan itu banyak digunakan orang ramai termasuk golongan cacat penglihatan.

“Untuk kemudahan CCTV, kita hendak pastikan ia dilengkapi dengan video analitik sebab kita tahu ada berlaku beberapa insiden yang tidak diingini di stesen kebelakangan ini. Kita telah kenal pasti tempat-tempat yang terlibat dan kerja-kerja pembaikan akan bermula September ini,” katanya.

Terdahulu sempena dengan lawatannya, Loke telah menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang kapten monorel, Ahmad Zaharuddin Nordin yang berjaya mengelak kemalangan monorel daripada berlaku akibat pokok tumbang baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan pantas Ahmad Zaharuddin memberhentikan tren setelah landasan itu dihempap dengan pokok tumbang telah menyelamatkan lebih 30 penumpang yang berada dalam monorel ketika itu.

“Saya hargai tindakan beliau kerana jika tidak, tragedi lagi besar akan berlaku. Sesungguhnya pengalaman selama 14 tahun membuatkan beliau (Ahmad Zaharuddin) sangat berhati-hati memandu (monorel) terutama ketika musim hujan. Jadi amat wajar beliau diberi penghargaan,” kata Loke.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan