AM

KPKT PERUNTUK RM13.36 JUTA SELENGGARA PERUMAHAN BERSTRATA DI PERAK

15/06/2024 04:20 PM

IPOH, 15 Jun (Bernama) - - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan sebanyak RM13.36 juta kepada Perak bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan perumahan berstrata awam, swasta kos rendah dan sederhana rendah tahun ini. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata peruntukan itu merupakan satu daripada usaha berimpak tinggi kerajaan yang akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penghuni daripada 36 projek perumahan pangsa di negeri ini

“Peruntukan ini adalah untuk kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan perumahan berstrata awam mahupun swasta kos rendah dan sederhana bagi tahun 2024 yang mencakupi skop kerja membaiki atau mengganti lif, tangga, susur tangan (handrail), mengecat semula bangunan dan beberapa perkara lagi.

“Usaha ini adalah satu projek komuniti yang berimpak tinggi di mana semua orang boleh nampak, dengar, rasa dan sentuh perubahan positif yang sedang dilakukan oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Penyenggaraan Perumahan di Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini hari ini.

Nga berkata daripada jumlah itu sebanyak RM10.8 juta adalah daripada Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) serta Program Penyenggaraan Perumahan bagi perumahan berstrata awam.

“Selain itu, hari ini KPKT juga menyalurkan sebanyak RM500,000 kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi kerja-kerja mengecat semula bangunan serta penggantian susur tangan di laluan tangga unit rumah khas untuk Rumah Pangsa Jalan Hospital.

“Kita akan cat semula 12 blok terdiri daripda 580 unit melibatkan 3,000 orang penghuni yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini, bukan sahaja cat, kita lihat juga susur tangan yang telah rosak akan digantikan dengan besi tahan karat supaya dapat bertahan lama,” katanya sambil menambah rumah pangsa itu sudah berusia 53 tahun.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan