JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUMPASKAN 'GENG CAPANG' TERLIBAT KES PECAH BANGUNAN DI KEDAH, PERAK

23/05/2024 04:29 PM

ALOR SETAR, 23 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Capang’ dengan penahanan 11 individu termasuk tiga wanita yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah dan Perak.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata kesemua suspek berusia 17 hingga 41 tahun yang berasal dari Baling itu ditahan di empat lokasi berasingan, Selasa lepas.

“Geng yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini menyasarkan bangunan kerajaan dan sekolah dengan memotong pagar belakang bangunan sebelum memasuki pejabat pentadbiran. Mereka akan mencuri peralatan elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit yang ditinggalkan di situ.

“Mereka melakukan kegiatan ini pada sebelah pagi, mungkin mereka tahu tahap keselamatan pada waktu itu rendah...dengan penahanan kesemua suspek ini, kita telah berjaya menyelesaikan 25 kes pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah dan dua di Perak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas tiga kereta yang digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah itu serta 20 telefon bimbit, enam tablet, tiga kamera dan beberapa barangan lain.

“Hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal urin mendapati lapan daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah dengan bersembunyi atau pecah rumah dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara atau denda,” katanya.

Sementara itu Fisol berkata mengikut statistik dari Jan hingga awal Mei lepas 22 sekolah dan 11 bangunan kerajaan di lima daerah di Kedah telah dilaporkan dipecah masuk dan barang-barang milik kerajaan seperti komputer riba, tablet dan beberapa barangan lain dilarikan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan