SUKAN

JUN HAO, JIN WEI LEPASI HALANGAN PERTAMA MALAYSIA MASTERS 2024

22/05/2024 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Walaupun perlawanan diheret hingga 81 minit tidak menggoyahkan semangat juang pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk menunjukkan jalan keluar kepada Lei Lan Xi dari China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. 

Pemain di ranking ke-37 dunia itu yang ketinggalan 13-21 pada set pertama, bangkit pada dua set seterusnya dengan 23-21 dan 21-12 untuk menoktahkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.  

“Bagi saya bermain di sini (Malaysia) perlu beri yang terbaik. Saya tidak menyerah dan bermain sepenuh hati, itu yang membuatkan saya menang hari ini. 

“Saya rasa (prestasi) bertambah baik kerana sekarang banyak bermain di kejohanan bertaraf tinggi. Saya teruskan satu demi satu dan langkah demi langkah untuk mencapai tahap yang lebih tinggi bagi diri saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mengenai pendapat menyatakan pemain China sukar ditumpaskan, Jun Hao berkata setiap pemain mempunyai ‘lenggok’ tersendiri dan mengesan perbezaan itu akan membantu mereka menumbangkan pemain berkenaan. 

Jun Hao seterusnya akan bertemu sama ada Toma Junior Popov dari Perancis atau pilihan ketiga kejohanan Li Shi Feng dari China. 

Mengikuti jejak Jun Hao ialah perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang mengenepikan cabaran pemain Ukraine, Polina Buhrova, 21-16, 18-21 dan 21-14 untuk bertemu Busanan Ongbamrungphan dari Thailand pada pusingan kedua Malaysia Masters 2024, esok. 

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu pernah ditewaskan Busanan sebanyak tiga kali iaitu di Indonesia Masters 2016, Terbuka Thailand 2016 dan Kejohanan Badminton Asia 2018.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan