AM

PENGANUT AGAMA BUDDHA SAMBUT HARI WESAK HARI INI

22/05/2024 08:18 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Penganut agama Buddha di Malaysia hari ini meraikan sambutan Hari Wesak bagi memperingati kelahiran, pencerahan agung serta kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama dengan Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields di sini menjadi antara lokasi tumpuan sambutan di ibu negara. 

Sambutan itu yang merupakan cuti umum di Malaysia seperti tahun-tahun sebelum ini menyaksikan para penganut berkumpul di kuil-kuil Buddha menyanyikan lagu agama dan membawa simbol ikon Buddha semasa acara perarakan yang melambangkan kesucian seseorang.

Di Tokong Buddha Maha Vihara dikatakan kira-kira 20 kereta berhias akan menyertai perarakan sejauh 12 kilometer melalui Little India, Pasar Seni, Jalan Raja Chulan dan Bukit Bintang, hari ini.

Di Selangor pula, antara lokasi tumpuan sambutan adalah di Kuil Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat dengan para penganut mula berkumpul seawal jam 8 pagi.

Hari Wesak menandakan pentingnya penganut agama Buddha menerapkan keyakinan diri dalam agama tersebut dan hidup berlandaskan kepercayaannya.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dilapor berkata sambutan yang sering dihadiri oleh kira-kira 40,000 orang di ibu kota itu dapat mengeratkan dan membolehkan masyarakat lebih mengenali budaya agama lain.

Hari Wesak disambut dengan menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, menabur bunga dan memandikan patung Buddha.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan