AM

Sultan Mizan Nasihat Bakal Jemaah Haji Fokus Ibadah Di Tanah Suci

20/05/2024 12:12 AM

KUALA NERUS, 19 Mei (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menasihati bakal jemaah haji supaya fokus dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan rukun Islam kelima itu di Tanah Suci.

Titah baginda, hal ini kerana jemputan menunaikan haji merupakan jemputan yang amat istimewa daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih.

"Beta pasti panggilan haji ini merupakan sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Oleh itu, beta berharap jemaah haji dapat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji yang dipelajari semasa kursus anjuran Tabung Haji. 

"Jemputan haji merupakan satu jemputan istimewa. Ia tidak patut disia-siakan dengan perkara tidak berfaedah," titah baginda ketika berangkat ke Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024M di Stesen Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini malam ini.

Titah baginda itu dibacakan Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut memuji mutu perkhidmatan Tabung Haji yang cemerlang dalam menjaga kebajikan serta keselamatan jemaah haji.

Titah baginda, komitmen tinggi ditunjukkan agensi berkenaan membolehkan jemaah haji mengerjakan ibadah itu dengan tenang dan selesa.

"Umat Islam seharusnya bersyukur kerana Tabung Haji sentiasa mengambil berat kebajikan jemaah. 

"Beta berdoa supaya bakal jemaah haji dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur," titah baginda.

Pada majlis itu, Tengku Muhammad Ismail turut berkenan menyampaikan kurniaan kepada 139 bakal jemaah haji Terengganu.

Laungan azan turut dialunkan Bilal Masjid Tengku Tengah Zaharah, Ahmad Zuhurul Hassan Othman sebagai simbolik memuji kebesaran Allah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan