AM

PELAJAR-PELAJAR LIS PAMER PENYELESAIAN KREATIF DI PERSIDANGAN CBL

10/05/2024 06:20 PM

LABUAN, 10 Mei (Bernama) -- Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) telah menganjurkan Persidangan Pembelajaran Berasaskan Cabaran (CBL) tahunannya di mana 250 pelajar telah menyertai program inovasi yang mempamerkan penyelesaian kreatif mereka terhadap isu semasa dan alam sekitar.

Enam inovasi menonjol telah muncul daripada persidangan itu dan bersedia untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

 Pengetua LIS, Fadlin Aimuni memuji kebijaksanaan pelajar-pelajar sambil menyatakan bahawa enam inovasi telah dianugerahkan penghormatan utama daripada 25 penyertaan.

Mengimbas kembali pencapaian LIS pada masa lalu, dia memaklumkan mengenai kejayaan mereka pada Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-5 (ICAN 2020) di mana mereka merangkul pingat emas dan anugerah khas.

"Kami akan terus memupuk kreativiti pelajar kami untuk menginovasi produk yang mampan dan mesra alam," katanya kepada Bernama selepas persidangan di Auditorium LIS di sini hari ini.

Inovasi-inovasi yang akan menyertai pertandingan peringkat kebangsaan (Anugerah Cabaran Terbaik Tiga Teratas Utama) ialah Mini Maths, jam yang direka untuk membantu pelajar tadika mempelajari matematik dengan cara yang cepat dan menyeronokkan; Sugar Guide Box, kotak yang mendidik kanak-kanak tentang penggunaan gula dalam cara yang menyeronokkan dan menarik, dan kit pengajaran (Pulley-18) untuk kanak-kanak belajar dan memahami mengenai kaedah campur dan tolak.

Manakala bagi Anugerah Cabaran Terbaik Tiga Teratas bagi sekolah menengah yang akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan pula ialah SOLDE, detergen pembersih mesra alam yang diperbuat daripada bahan organik dan tidak toksik untuk kegunaan di rumah; Periodic Pair-Up (PPU), alat gamifikasi untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang Jadual Berkala, dan BALECO, bekas terbiodegradasi diperbuat daripada daun pisang yang tidak akan membahayakan hidupan marin yang juga bertindak sebagai produk alternatif untuk menggantikan bekas plastik.

Beliau menekankan pentingnya kerjasama dan inovasi dalam menangani cabaran kontemporari, menonjolkan peranan persidangan itu dalam mempamerkan potensi pemikir muda.

"Apabila pelajar memanfaatkan kreativiti dan kebolehan menyelesaikan masalah mereka, ia menjanjikan kemunculan penyelesaian yang inovatif pada masa depan," katanya.

Persidangan CBL yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Jabatan Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar (DoE), Jabatan Kesihatan, Lions Club dan Etiqa Offshore Labuan, menghimpunkan pelajar berusia 11 hingga 17 tahun untuk program amali yang melibatkan pemikiran secara mendalam.

Fadlin berkata peserta bekerjasama dengan rakan, pendidik dan pakar untuk menangani cabaran yang diilhamkan oleh 17 Matlamat Pembangunan Mampan, memperkasakan mereka dalam penggunaan teknologi untuk melakukan perubahan yang positif.

Beliau berkata pencapaian pelajar LIS melangkaui persidangan itu dengan merangkul tiga Pingat Emas pada International Conference of Education and Futuristic Innovation (ICEFI) 2023 dan mereka juga menerima Anugerah Khas daripada Persatuan Saintis Muda Indonesia pada World Youth STEM Invention Innovation 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan