SUKAN

PERLAWANAN SUMBANGSIH BATAL, JDT DIBERI KEMENANGAN 'WALKOVER'

09/05/2024 03:54 PM

SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bergelar juara Sumbangsih buat kali ketujuh berturut-turut selepas Selangor FC (SFC) kekal menarik diri daripada perlawanan pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor esok.

Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini, keputusan Red Giants dimaklumkan dalam satu surat rasmi sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0.

JDT turut memperoleh tiga mata bagi saingan liga oleh MFL memandangkan perlawanan Sumbangsih menyumbang kepada kutipan mata bagi Liga Super musim 2024/2025.

Kenyataan itu juga memaklumkan perkara-perkara lain berhubung penarikan diri SFC akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya.

Selasa lepas, SFC menghantar permohonan menangguhkan aksi Sumbangsih selepas bintang utamanya Mohamad Faisal Abdul Halim diserang dua individu tidak dikenali yang menyimbah asid ke tubuhnya.

Bagaimanapun MFL menolak permohonan SFC itu semalam, selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.

SFC kemudiannya mengumumkan keputusan menarik diri selain keputusan itu turut mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan