AM

Malaysia Ikuti Rapat Perkembangan Nahas Helikopter Presiden Iran

20/05/2024 12:29 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia mengikuti rapat perkembangan kes nahas helikopter yang dinaiki Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasinya yang dilaporkan terhempas pada petang Ahad. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau mendapat khabar tentang kejadian itu semasa dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari rangka kerja di Asia Tengah.

Menteri Luar Iran Dr Hossein Amirabdollahian turut dilaporkan berada dalam helikopter tersebut.

“Bagaimanapun setakat ini difahamkan misi mencari dan menyelamat masih diteruskan biarpun berdepan cuaca buruk.

“Doa saya agar semua yang terlibat segera dijumpai dan berada dalam keadaan baik. Semoga khabar menyenangkan menjengah tidak lama lagi,” kata Mohamad dalam satu kenyataan pada Isnin. 

Katanya sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan segera melalui laman media sosial rasmi Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia).

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan Raisi sedang dalam penerbangan pulang daripada satu majlis untuk merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.

Selain Raisi dan Amirabdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur  Malek Rahmati, Imam Solat Jumaat Bandar Tabriz Hojjatoleslam Al Hashem dan beberapa individu lain juga dilaporkan berada di dalam helikopter itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan