AM

PERHILITAN TANGKAP GAJAH SEBERAT 2 TAN ROSAKKAN TANAMAN PENDUDUK

09/05/2024 05:41 PM

JERTIH, 9 Mei (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah jantan liar semalam yang dilaporkan merosakkan kebun penduduk di Kampung Pok Sik dekat Keruak, Hulu Besut di sini sejak dua minggu lepas.

Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata pihaknya menerima aduan berhubung haiwan liar terbabit pada Isnin lepas sebelum menggerakkan tujuh anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) keesokannya untuk melakukan operasi mengesan dan menangkap gajah berkenaan.

“Pihak kami berjaya menangkap gajah jantan berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun dengan saiz tapak kaki berukuran 16 inci itu berhampiran kebun kelapa sawit dan pisang yang tidak jauh dari penempatan orang kampung pada 3 petang.

“Gajah jantan dianggarkan seberat dua tan itu akan dipindahkan ke habitat semula jadi yang sesuai dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemerhatian awal mendapati gajah itu berada dalam keadaan sihat dan percaya tangkapan itu akan membuatkan penduduk kampung merasa lebih selamat untuk ke kebun masing-masing.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Zuzazuwan Talib, 42, yang mengalami kerugian kira-kira RM3,000 apabila gajah itu dipercayai merosakkan tanaman kelapa sawit dan pisang di kebunnya Ahad lepas, merasa lega apabila haiwan itu berjaya ditangkap.

“Saya bimbang sekiranya gajah itu lambat ditangkap, bukan sahaja kami alami kerugian lebih besar, tetapi juga akan mengancam keselamatan kami.

"Sejak gajah itu berkeliaran seminggu sebelum laporan dibuat, penduduk kampung takut untuk ke kebun masing-masing," katanya yang pernah terserempak dengan haiwan liar itu di kebunnya beberapa hari lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan