AM

SULTAN MIZAN BERKENAN RASMI WISMA AUDIT TERENGGANU

19/05/2024 02:59 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Wisma Audit negeri di sini, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu.

Berangkat sama Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail. 

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi. 

Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) memainkan peranan penting dalam pentadbiran sektor awam dengan memastikan akauntabiliti dan pengurusan kewangan kerajaan teratur, selaras dengan undang-undang dan peraturan sedia ada. 

Beliau berkata ia bagi membantu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan pengurusan kewangan kerajaan, melalui khidmat nasihat dan pandangan membina yang diberikan hasil daripada pengauditan yang dilaksanakan.

“Dengan berdiri megahnya bangunan Wisma Audit ini, ianya merupakan satu perkembangan penting dalam memperkasakan peranan audit dalam tatakelola dan pengurusan kewangan kerajaan dan agensinya,” katanya. 

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Wan Suraya berkata, bangunan yang siap dibina pada 2018 di atas tanah berkeluasan 1.42 hektar itu merupakan bangunan kelapan JAN di seluruh negara dan menelan kos sebanyak RM18.63 juta.

Menurutnya, ia kini beroperasi dengan 68 orang pegawai audit Terengganu yang sebelum ini bertugas di bangunan Wisma Persekutuan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya kini dalam perancangan awal membina Akademi Audit Negara (AAN) Zon Timur di bawah Rancangan Malaysia ke-13 bagi pembangunan kapasiti dan modal insan agensi kerajaan di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan